Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Alhamdulillah wa syukrulillah. . kepada rakan-rakan senior, selamat bersua kembali kita pada semester baru ini dengan berbekalkan azam dan semangat baru untuk meneruskan cita-cita yang didukung. Kepada adik-adik kemasukan baru bagi sesi 2009/10, warga PMI mengucapkan setinggi-tinggi syabas dan selamat datang ke Kampus UTM Skudai. Kami cukup berbangga dengan kehadiran adik-adik semua sebagai warga baru mahasiswa UTM.
Untuk makluman, adik-adik cukup bertuah kerana dapat melanjutkan pelajaran di UTM Skudai ni, sebabnya kampus ni cukup unik dan menarik. Di universiti yang terkenal dengan ‘Research University’ dalam bidang sains dan teknologi serta pelbagai bidang lagi ni, Adik-adik bukan saja dapat menimba ilmu akademik dengan hadir ke kuliah di fakulti saja, tetapi adik-adik turut berpeluang mempelajari dan mendalami ilmu-ilmu agama yang dianjurkan oleh pihak Masjid Sultan Ismail UTM, surau-surau kolej dan juga kelab-kelab dan persatuan-persatuan agama yang sentiasa bergerak aktif. Selain itu, jika adik-adik berminat dalam bidang kepimpinan dan berkeinginan untuk menggilap bakat dan kemahiran yang ada, jom sertai kami dalam Persatuan Mahasiswa Islam. Pelbagai khazanah kemahiran boleh kita garap bersama. InsyaAllah sedikit sebanyak dapat kita memanfaatkan masa yang ada ke arah kebaikkan disamping dapat membenteng diri dari terjebak dengan perkara-perkara lagha.
Apakah kita perlu menguasai ilmu sains dan teknologi dan mengabaikan ilmu fardu ain yang setakat sampai umur 18 tahun sahaja? Atau kita berlumba-lumba menguasai maklumat dan data yang bertaburan di media komunikasi, yang sememangnya tidak memberi nilai pembaikan akhlak kepada kita?
Maka, faham mengenai tujuan menuntut ilmu dan kemahiran secara menyeluruh dan mengikut pandang Islami perlu menjadi keutamaan kepada kita. Masalah yang kita hadapi di sini bukan setakat kekeliruan mengenai tujuan menuntut ilmu dan kemahiran bahkan sikap malas kita dalam bersungguh- sungguh mendapatkannya. Kadang kita terfikir juga, bagaimana orang Cina boleh berjaya dalam akademik, orang Jerman boleh cemerlang sains dan teknologi, yang mereka semua ini bukan orang Islam. Ini kerana mereka memiliki dua sikap yang membantu iaitu ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu kemahiran dan ada kesungguhan yang luar biasa. Seharusnya inilah contoh tauladan yang perlu dimiliki oleh mahasiswa kita di kampus.
Akhir kalam, kami berharap adik-adik dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran UTM dan menggunakan pelbagai kemudahan yang tersedia dengan sebaik-baiknya. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Buat renungan adik-adik dan sahabat-sahabat untuk sama-sama kita ambil ‘ibrah daripada kata-kata oleh Muhammad Abduh, tokoh reformis, ”Jika pelaburan besar dalam pendidikan dibuat, maka kita tidak akan bersusah payah memikirkan banyak perkara, dan inilah jalan yang terbaik”. Selamat bermujahadah.
MOHD AMIN BIN MOHD HAMAMI
PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA ISLAM 2009
FAKULTI KEJURUTERAAN MEKANIKAL (PEMBUATAN)
UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA
Tahniah!!!
Tahniah saya ucapkan ke hadapan sahabat Presiden Persatuan mahasiswa Islam UTM, saudara Mohd Amin Bin Mohd Hamami di atas komitmen dan kepimpinan beliau PMIUTM terus mengorak langkah bagai 'FRONT LINER' dalam kepimpinan mahasiswa Islam di UTM khasnya dan Malaysia umumnya. Saya sangat berbangga kerana agenda kepimpinan yang bertunjangkan lunas-lunas Islam terus diperjuangkan oleh PMIUTM agar dapat menyuburkan lagi 'SYIAR' Islam dan tetap utuh di UTM. Sebagai seorang ahli PMIUTM dan Ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Malaysia akan tetap komited untuk bersama-sama dengan kepimpinan presiden dalam membangun agenda pembangunan ummah.












